Thursday 27 January 2011

isu kewarganegaraan

BERITA - 28.01.2011

4 PETANG


ISU KEWARGANEGARAAN

Seramai dua belas orang masyarakat berketurunan India di negeri Perak berjaya mendapat status kewarganegaraan atas usaha Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan (Taskforce) di bawah Kementerian Jabatan Perdana Menteri.

Mereka terdiri daripada pemohon-pemohon bagi kad pengenalan biru, surat beranak dan kad pengenalan yang telah di daftar semasa pelancaran Program Mesra Rakyat pada bulan Oktober lepas.

Presiden MIC Perak Datuk S. Veerasingam berkata setakat ini, Taskforce dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran negeri Perak berjaya menyelesaikan dua belas kes daripada 366 kes melalui kempen MYDAFTAR bagi tempoh tiga bulan yang lalu.

Menurutnya lagi, Taskforce akan mengadakan kempen Mydaftar di 15 Jabatan Pendaftaran seluruh negeri Perak pada sembilan belas hingga dua puluh enam Februari ini bagi menyelesaikan kes-kes yang berkaitan dengan isu kewarganegaraan.

Difahamkan, kempen tersebut akan diadakan khas untuk masyarakat India pada 19 dan 20 Februari berikutan banyak kes yang diterima daripada kalangan mereka.

Sementara itu, Datuk S. Veerasingam menegaskan supaya jangan mudah terpedaya dengan tipu helah orang tengah yang berjanji untuk mendapatkan dokumentasi kewarganegaraan dengan suatu kadar bayaran yang tinggi.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan dokumen sah kewarganegaraan kepada dua belas orang warga India di Pejabat MIC cawangan Perak.

end/jaya